Monday, 18 April 2016

Ucapan Perbahasan Menjunjung Titah SPB Yang Dipertuan Agong YB Senator Dr Muhammad  Nur Manuty semasa Sidang Dewan Negara pada 18 April 2016

Bismillahirrahmanirrahim
Nahmaduhu wa nusalli 'ala rasulihi al-karim

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua Dewan Negara,
Ahli - Ahli Yang Berhormat

1.Saya memulakan ucapan saya dengan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua atas peluang yang diberikan kepada saya dalam membahas usul menjunjung titah SPB Yang Di-Pertuan Agong. 
Sesungguhnya titah tersebut sepatutnya menjadi panduan dan sempadan kepada ahli-ahli dewan negara dalam sidang parlimen kali ini.

2.Pertama saya ingin menyentuh mengenai titah Baginda mengenai kepentingan menjaga keamanan negara serta mengekang pengaruh militan yang telah menampakkan pengaruhnya di negara ini. Usaha Kementerian Dalam Negeri dan PDRM yang melakukan pelbagai usaha bagi menggagalkan sebarang percubaan untuk membuat keganasan di Malaysia sangat dialu-alukan oleh semua pihak yang prihatin terhadap kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan negara. Mutakhir ini kita mendengar rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki menyertai kumpulan ISIS. Namun statistik penahanan yang tinggi tidak bermakna usaha kita mengekang militan sudah tercapai. Malahan sepatutnya kita berfikir dengan mendalam apakah sebab-sebab mereka yang terdiri dari golongan muda dan berpelajaran mudah terpengaruh dengan agenda ISIS yang terpesong dari ajaran Islam yang suci. Usaha pembanterasan keganasan di negara ini tidak seharusnya dibebankan ke atas PDRM semata-mata namun usaha tersebut perlu mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari semua agensi, institusi pemerintah, NGO-NGO, badan-badan korporat, media dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Selanjutnya, JAKIM, YADIM, IKIM dan jabatan-jabatan agama negeri sewajarnya telahpun siap sedia menawarkan modul-modul yang komprehensif dan efektif tentang kewajipan memahami konsep jihad yang kini telah disalahtafsir oleh kumpulan ISIS. Selain itu, modul-modul tersebut juga hendaklah mengupas salah faham tentang konsep negara Islam yang menjadi ideologi utama ISIS. Dalam hubungan ini karya-karya Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, tokoh ulama' sedunia seperti Fiqh Jihad dan Fiqh Kenegaraan Islam wajar dijadikan rujukan penting. Karya-karya tersebut boleh menyelesaikan banyak kekeliruan dan kekusutan pemikiran dalam masyarakat. Kita juga memerlukan kepakaran personaliti media sosial untuk berhadapan dengan kelicikan ISIS yang berjaya meluaskan pengaruhnya dalam media sosial. Inilah kelompok yang perlu diberikan latihan sosial media secara khusus tentang memahami konsep jihad dan negara Islam.

3.Malaysia perlu meneruskan lagi usaha membasmi sindiket pemerdagangan manusia. Ini dapat dianggap sebagai jenayah perhambaan zaman moden yang telah memberi nama buruk kepada negara. Kebanyakan daripada mangsa pemerdagangan manusia adalah dari kalangan pelarian yang melarikan diri daripada negara asal kerana takut dengan ancaman terhadap keselamatan nyawa diri dan keluarga mereka. Oleh yang demikian, mereka perlu dibezakan dengan imigran yang datang atas dasar pilihan untuk mencari kerja di negara ini. Namun pelarian tidak ada pilihan lain selain mendapat perlindungan sementara di negara ketiga yang lebih aman. Kerajaan perlu juga memastikan pelarian di negara ini mendapat kebajikan yang sewajarnya atas dasar kemanusiaan. Kita wajar mempertimbangkan keperluan mereka mendapat pekerjaan dan peluang pendidikaan kepada anak-anak mereka. Sekiranya mereka tidak bekerja atau bersekolah, saya cukup yakin mereka akan terjebak ke dalam kegiatan jenayah.

4.Malaysia melalui syarikat kebanggaanya Petronas telah sentiasa menjadi salah satu syarikat terbesar di Asia dan sentiasa menjadi "benchmark" dalam industri minyak dan gas asli. Namun beberapa tahun kebelakangan ini harga minyak telah menurun dan simpanan minyak dunia pun sudah semakin berkurang kerana penggunaannya yang semakin meningkat dalam kehidupan seharian manusia. Selain itu, konflik di negara-negara pengeluar seperti di Timur Tengah merumitkan lagi pasaran keluaran minyak sedunia. Kerajaan perlu menambah program pemberdayaan rakyat terutamanya dalam mempromosi aktviti ekonomi yang merakyat. Barangkali sampai masanya untuk kerajaan memberi pelbagai insentif bantuan kewangan dan latihan keusahawanan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang baru bersara. Bagi orang-orang muda pula, pendidikan keusahawan perlu digalakkan sejak dari pendidikan kolej dan pengajian tinggi. Tentulah mereka perlu dibantu dalam memberi bantuan modal awal supaya mereka lebih yakin dalam memulakan perniagaan. Seperti kata pepatah, perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama, dan kerajaan sepatutnya membantu mereka dalam memulakan langkah pertama itu. Saya cukup yakin bahawa untuk menjadi negara maju, rakyat kita perlu menjadi usahawan yang berani dalam mengambil risiko, bukan semata-mata bekerja di pejabat dan menunggu hari persaraan. Orientasi bekerja di dalam sektor swasta wajar dipromosikan dengan lebih meluas. Dengan ini, pasaran pekerjaan akan lebih terjamin pada masa hadapan dan sekaligus penggangguran dapat dikurangkan.

5.Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa bimbang dengan kejatuhan nilai wang ringgit yang terburuk sejak krisis kewangan 1998. Selanjutnya rakyat juga mengalami kesengsaraan akibat dari kejatuhan harga getah, bebanan GST, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang keperluan harian, kesukaran rakyat memilih rumah yang selesa kerana harga rumah yang terlalu mahal, kurangnya khidmat kesihatan yang berkualiti dan lain-lain aspek bebanan hidup. Kesemuanya itu telah menyebabkan kesenjangan pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Junjungan Muhammad SAW bersabda, kefakiran hampir-hampir mencetuskan kekufuran. Justeru, kerajaan seharusnya mengelakkan pembaziran dalam pengurusan wang negara serta melaksanakan projek-projek pembaziran seperti projek 1MDB yang telah menjejaskan teruk imej negara kepada negara-negara luar.

6.Berhubugan dengan saranan Seri Paduka Baginda supaya mutu pendidikan negara dipertingkatkan, saya ingin menyatakan rasa terperanjat kerana pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi untuk menamatkan kontrak profesor-profesor yang berumur lebih 60 tahun di IPTA semata-mata kerana gugatan krisis ekonomi negara yang sedang berlaku saat ini. Rasanya langkah sedemikian merugikan kepada masa hadapan pembangunan negara kerana berbanding dengan negara-negara maju, IPT awam di negara-negara tersebut sentiasa meraikan khidmat ilmu dan kepakaran ilmuwan yang sudah meningkat umur lebih 60 tahun. Semakin umur mereka bertambah, semakin dirasakan keperluan pengalaman keilmuwan mereka untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Malangnya di Malaysia, pengalaman mereka tidak dihargai. Kita hendaklah ingat bahawa  untuk mendapatkan seorang profesor yang terlatih perlu melibatkan perbelanjaan yang besar dan masa yang lama. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pemotongan biasiswa JPA ke luar negara. Pemotongan ini merencatkan pendedahan keilmuan di negara luar  yang selama ini menjadi salah satu nilai tambah kepada kekuatan modal insan di Malaysia.

7.Mutakhir ini, pertembungan antara mahkamah sivil dan syariah semakin rencam. Ini ialah kerana undang-undang syariah bukan sekadar terhad kepada orang-orang Islam sahaja seperti yang kita fahami sebelum ini, namun ianya juga memberi kesan tidak langsung kepada orang bukan Islam seperti kes perceraian, penjagaan anak, pewarisan harta dan lain-lain. Saya fikir sudah tiba masanya kita menggubal undang-undang terutamanya dalam kes kekeluargaan supaya memberi keadilan kepada semua pihak. Ini adalah penting supaya keharmonian beragama yang kukuh terus dipelihara. Oleh kerana ianya melibatkan kuasa agama di negeri-negeri dalam Persekutuan maka jalan terbaik bagi mengelakkan konflik seumpama ini berterusan maka dicadangkan supaya Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan sebuah Surujahanjaya Khas bagi menyelesaikan pertikaian antara mahkamah syariah dan sivil. Ini adalah disebabkan dalam kes-kes yang kontroversi, seringkali keputusan di mahkamah syariah dan sivil berbeza dan ini menyebabkan kegelisahan dan kekeliruan berlaku.

8. Dalam hal ini, saya menyokong saranan Yang Dipertuan Agong jelas menunjukkan bahawa otoriti agama di negara ini hendaklah menguasai dengan mendalam keilmuan Islam supaya tidak dapat dipertikaikan sama sekali oleh pelbagai kelompok di dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Otoriti Islam di negara ini wajar diberi ruang yang seluas-luasnya untuk mendapat pendedahan dari para ilmuwan Muslim semasa di dalam dan di luar negara, bahkan mereka tidak hanya perlu menguasai ilmu-ilmu naqli (revealed knowledge) tetapi juga ilmu-ilmu aqli (rational sciences). Kita yakin dengan penguasaan kedua-dua cabang ilmu tersebut, hujah-hujah yang dikeluarkan oleh otoriti Islam di Malaysia mempunyai kekuatan justifikasi yang dapat diterima kerana kekentalan fakta yang serta mengandungi rasional yang selari dengan realiti semasa. Sebagai permulaan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dr Zulkifli Albakri dan Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menerima kunjungan hormat dari pemimpin-pemimpin Kristian dari negeri masing-masing adalah satu langkah terpuji yang boleh mengurangkan salah faham terhadap agama Islam dan lain-lain agama. Selain itu, bagi memurnikan percanggahan pemikiran Islam seperti yang sedang rancak berlaku saat ini di media sosial dan akhbar bercetak, maka pihak berkuasa Islam di negara ini wajar mengambil pendekatan engagement dengan pelbagai individu dan kelompok-kelompok yang kritikal. Kita kembali kepada pendekatan Al-Quran, firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud"Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dialah Yang Mahatahu tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah Yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."  

9. Akhir sekali, sesungguhnya kita sebagai penggubal undang-undang di dewan yang mulia ini mempunyai pertanggungjawaban yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat untuk menyelamatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendapat limpahan nikmat yang terhitung. Justeru, slogan transfomasi tidak mempunyai apa-apa makna seandainya tidak dilaksanakan dengan adil, telus dan amanah.

Tuesday, 12 April 2016

Pendirian BiPPA Mengenai Lawatan Dr Zakir Naik ke Malaysia.

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN berpandangan bahawa para pengkritik ke atas lawatan Dr Zakir Naik ke Malaysia sewajarnya meniliti dengan cermat ceramah-ceramah dan pendirian peribadi beliau sebelum membuat kritikan yang melulu sehingga boleh menjejaskan keharmonian agama di Malaysia.Justeru,undangan terhadap Dr Zakir Naik tidak sewajarnya disensasikan oleh pihak-pihak tertentu seperti Hindraf, MIC dan lain-lain.Dr Zakir Naik telah melawat Malaysia berkali-kali dan telah mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Malaysia dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Malaysia pada tahun 2014.

BiPPA merasa kesal dengan pembatalan program Dr Zakir Naik oleh PDRM di UTEM, Melaka, pada 17hb.April ini secara tergesa - tergesa tanpa memberi justifikasi yang munasabah.Program tersebut selaras dengan status UTEM sebagai sebuah menara gading  ilmu yang menekankan iltizam terhadap pengembangan intelektualisme dan sekaligus bertujuan untuk mempertingkatkan program dialog antara agama.

Ketokohan Dr Zakir Naik sebagai seorang ilmuan perbandingan agama seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin. Seandainya pengucapan-pengucapan Dr Zakir Naik telah menimbulkan perkara-perkara sensitif dan negatif di kacamata masyarakat bukan Islam, maka sudah pasti kegiatannya telah pun dilarang oleh kerajaan India yang mempunyai majoriti penganut agama Hindu. Sebaliknya adalah suatu yang memeranjatkan apabila pihak-pihak tertentu di Malaysia tidak menunjukkan kematangan dan lebih bersifat emosi.

Dalam menghadapi isu-isu yang sensitif seumapama ini, BiPPA ingin menganjurkan supaya proses mendidik rakyat Malaysia dalam memahami tradisi semua agama yang wujud di dalam negara ini wajar dipertingkatkan dengan lebih serius.Hakikatnya kelainan antara agama-agama tidak wajar dijadikan sebagai punca perpecahan,sebaliknya ia dapat dijadikan faktor pemersatu antara rakyat Malaysia.Dalam hubungan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum, keADILan telah melakar usaha-usaha dialog antara agama/tamadun mulai dekad 70'an di dalam negara ini.Sewajarnya selepas 60 tahun kemerdekaan negara,keunikan tiga tamadun besar iaitu Islam, Cina dan India yang wujud di Malaysia telah dapat mengelakkan berlakunya konflik pemikiran yang berkaitan dengan kemajmukan agama. Dalam sejarah peradaban Islam, Al-Biruni, seorang ilmuwan Islam ternama telah menulis sebuah karya penting tentang agama Hindu. Justeru, bukan suatu perkara yang asing bagi seorang penganut Islam menekuni agama-agama lain untuk tujuan menambahkan kefahaman.

Sebagai warganegara Malaysia yang mengamalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, kehadiran Dr Zakir Naik tidak sepatutnya disekat dan jika terdapat beberapa perkara yang tidak memuaskan hati dalam kalangan penganut-penganut bukan Islam, maka sewajarnya pertemuan-pertemuan seperti sidang meja bulat adalah penting untuk diadakan dengan pihak-pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan khususnya dari Dr Zakir Naik sendiri dan pihak penganjur. Pertemuan tertutup adalah penting untuk mendidik penganut agama masing-masing tentang perlunya menghormati kemajmukan agama agama yang merupakan fitrah Allah SWT supaya tidak timbul lagi ketidakmatangan rakyat Malaysia dalam kehidupan pelbagai agama. Kita yakin bahawa rakyat Malaysia menolak sebarang tindakan yang bersifat penghinaan terhadap semua agama.Di dalam Islam penghinaan terhadap agama-agama sangat dilarang. Ia juga bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan juga Rukun Negara. Justeru pertemuan antara pemimpin agama perlu lebih kerapa diadakan.  Dalam hubungan ini, BiPPA mengalu-alukan kenyataan SS Mufti Pulau Pinang, SS Mufti Wilayah Perseketuan dan SS Mufti Perlis yang menyokong secara terbuka terhadap program-program Dr Zakir Naik di negara ini..

Kesimpulannya, BiPPA berpandangan bahawa program-program Dr Zakir Naik wajar diteruskan supaya dialog antara agama dapat disuburkan.Keupayaan rakyat Malaysia dalam mengamalkan dialog yang terbuka, beretika dan matang adalah suatu yang wajib sebagai prasyarat Malaysia menjadi negara yang maju dan bertamadun tinggi. BiPPA juga mengalu-alukan program kehadiran tokoh-tokoh agama bukan Islam ke negara ini sebagai merealisasikan keharmonian dan kebebasan beragama di Malaysia.

Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
12 April 2016

Thursday, 17 March 2016

Berdakwah Di Katil Hospital

video

MasyaALLAH,
Sheikh Dr Aaidh Ibnu Abdullah Al Qarni terus berdakwah tanpa henti walaupun berada di katil hospital degan keadaan kesihatan yang sebegitu akibat ditembak ketika cubaan membunuhnya di Filipina baru baru ini.

Semoga ALLAH merahmatinya.

Monday, 7 March 2016

Catatan Halaqah Ilmu Bukit Segambut.

Catatan Halaqah Ilmu Bukit Segambut
Pengisian Oleh Ustaz Abdul Mutalib Maarof
Yayasan An-Nahdhoh
25 Febuari 2016

Saya bersetuju untuk hadir kerana teringat dengan pesan Nabi Muhammad SAW supaya menjaga perhubungan silaturrahimi sesama Islam. Persaudaraan yang ikhlas hanya boleh dilihat oleh mata hati. Mata hati boleh nampak apa yg mata zahir tidak nampak. Contohnya kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak yang kita tidak nampak secara fizikal tetapi merasakannya dengan hati. Sekiranya hubungan sesama manusia itu ikhlas, tentu kita akan selalu teringatkan dia. Inilah manfaatnya mata hati. Dato' Seri Anwar Ibrahim duduk di hati kaum keluarga dan sahabatnya. Itulah besarnya nikmat mata hati yang Allah jadikan. Saya teringat pilihanraya Permatang Pauh baru-baru ini, ada yang datang dari Kuala Lumpur kerana mahu mendengar nasihat saya sebab Anwar Ibrahim suruh mereka jump saya. Sejak dari itu saya merasakan saya mempunyai hubungan hati dengan Anwar Ibrahim. Walaupun jauh di mata tetapi kita tetap berhubungan dengan mata hati.

Islam mengajar kita berdoa apabila sedanga bermusafir supaya Allah memendekkan perjalanan kita. Contohnya bila hendak ke Mekah, kita minta supaya perjalanan dipendekkan. Mengapa? Ada orang merasakan sesuatu itu perjalanan lama, ada juga yang rasa sekejap sahaja, walaupun jaraknya sama. Saya mengajak tuan-tuan supaya berdoa kepada Allah supaya Anwar Ibrahim merasakan masa beliau dalam penjara pendek. Mudah-mudahan tidak merasakan satu hari macam sebulan. Kita masuk hospital pun satu hari pun dah sama macam sebulan. Saya berdoa supaya biarlah 3 atau 4 tahun yangg terpenjara itu biarlah dijadikan rasanya pendek walaupun hakikatnya lama.

Dalam sirah Nabi, ada seorang sahabat yag apabila dipuji beliau rasa seronok. Beliau memberitahu kepada Nabi SAW tentang pujian tersebut. Kita juga kadang-kadang bermimpi ada yang indah, ada juga yang buruk . Walaupun duduk di istana besar pun, tetapi kalau mimpi buruk pun tetap tidak boleh tidur nyenyak. Allah ciptakan mimpi dengan sebab, bukan tiada kegunaan. Dalam mimpi juga kita dapat berjumpa dengan orang yang sudah lama kita tak jumpa atau sudah pun meninggal dunia. Antara mimpi yang paling indah adalah bermimpi dapat jumpa Nabi SAW. Kita doakan supaya waktu Anwar Ibrahim dalam penjara beliau akan dikurniakan mimpi yang indah.

Saidatina Khadijah suatu hari teringatkan sepupunya, Waraqah bin Naufal, orang pertama yang mengesahkan Nabi SAW sebagai Rasulullah. Waraqah berkata bahawa beliau mahu membantu dalam dakwah Nabi tetapi beliau sudah tua dan selepas itu beliau meninggal dunia. Khadijah bertanya kepada Nabi adakah waraqah ahli syurga atau neraka. Nabi berkata baginda pernah bermimpi berjumpa Waraqah dengan memakai pakaian yang cantik.

Kalau kita baca dalam Hadis Nabi SAW ada disebut tentang mimpi. Orang kalau pergi haji niat tak betul, dah boleh tengok kesannya di Mekah lagi. Balasan Allah kepada orang yang melakukan kezaliman sangat cepat. Sama seperti yang dihadapi oleh Mahathir sekarang. Oleh itu janganlah berbuat zalim kepada orang lain. Kalau kita berdoa beberapa kali tetapi masih tak dapat kita kena sebut Alhamdulillah kerana walau apapun kita tetap bersyukur kepada Allah atas segala nikmat.

Takdir Allah itu pelbagai. Saya teringat 15 tahun dahulu, di Perak ada berita tentang 6 orang anak, anak-anak tidur di tingkat atas, ibu bapa tinggal di tingkat bawah, apabila berlaku kebakaran,, semua anak-anak meninggal. Ini satu ujian dari Allah. Tetapi kita kena baik sangka dengan Allah. Contohnya setiap kali kita berdoa jangan terfikir bahawa adakah Allah akan makbulkan atau tidak. Kalau kita persoalkan itu bermakna kita sudah buruk sangka dengan Allah. Kalau kita tengok situasi dunia sekarang, kita sedar yang kita dapat nikmat yang pelbagai daripada Allah. Saya teringat cerita Al-Maunah di mana ada pengikutnya yang baik tetapi akibat terikut-ikut dengan ustaz yang juga ketua mereka, mereka ditangkap dan dipenjara seumur hidup. Ini salah satu takdir Allah yang datang secara tiba-tiba menyebabkan keluarga berpecah belah. Kita kena ambil iktibar dengan cerita dengan ini dan sentiasa kuatkan semangat.

Takdir kita sendiri bagaimana? Dimana kita akan mati? Kita takkan tahu dan boleh menjangka masa depan kita. Allah akan menguji dengan apa yang kita mampu. Segala ujian yang kita terima sebenarnya kita mampu, sebab itu Allah uji kita. Allah bila kasihkan seseorang Allah akan uji. Kita lihat sekarang kita makin jauh dengan Allah SWT. Ingatlah, di sebalik ujian itu ada nikmat.

Sebelum kita nak ajak orang untuk bersatu kita sendiri mesti saling hormat-menghormati, bukan dengan cara wahdatul fikir iaitu memaksakan fikiran kita kepada orang lain kerana setiap daripada kita ada pemikiran masing-masing. Kalau kita buat kerja kerana Fisabilillah, tentu Allah akan bantu. Yang membuat kerja tanpa berkira, Allah akan kurniakan dia dengan zuriat yang baik-baik.

Mudah-mudahan Allah bagi kesenangan kepada Anwar Ibrahim dan keluarganya. Ingatlah Allah tidak berlaku zalim dan ada nikmat disebalik ujiannya. Minta supaya segala kepayahan dan pengorbanan kita Allah akan balas dan bagi kelapangan serta kesihatan.


Catatan-
Ustaz Mohd Zawawi Mughni,
Setiausaha,
BiPPA Keadilan.

Kenyataan Media Majlis Presiden Pakatan Harapan

7 Mac 2016

PAKATAN HARAPAN ANJURKAN PERHIMPUNAN MANSUH GST 2 APRIL 2016 DAN PERHIMPUNAN
MUAFAKAT SELAMAT MALAYSIA

Pakatan Harapan memandang positif beberapa perkembangan mutakhir yang menjadi bukti bahawa reformasi membawa perubahan institusi dan sistem yang diperjuangkan selama ini adalah satu-satunya cara menyelamatkan Malaysia.
Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong penglibatan ketiga kepimpinan tertinggi yang diketuai oleh YAB Mohamed Azmin Ali, YB Lim Kit Siang dan Y Bhg Hj Mohamed Sabu dalam Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran Umno/Barisan Nasional.

Pengakuan oleh Tun Mahathir Mohamad ini tidak mengubah hala tuju Pakatan Harapan terutamanya berhubung pendirian mengenai bentuk-bentuk reformasi undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.

Malah, pengakuan Tun Mahathir Mohamad itu adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik paling utama kepada pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia. Strategi tiga serampang ini - menuntut reformasi institusi, membebaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan menuntut Dato' Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan - akan digerakkan secara bersepadu oleh Pakatan Harapan dalam kempen kami di seluruh negara.

Pakatan Harapan juga percaya isu-isu ekonomi yang mendesak dan menekan rakyat tidak boleh ditenggelamkan oleh beberapa perkembangan politik mutakhir ini. Isu-isu seperti penghapusan GST, pembiayaan pendidikan yang munasabah, menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan dan kenaikan tarif perlu terus diperjuangkan.

Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan untuk turun menyertai Perhimpunan Mansuh GST yang akan diadakan pada 2 April 2016 di Kuala Lumpur bersempena dengan satu tahun rakyat Malaysia dibebankan dengan GST.

Pakatan Harapan juga akan menganjurkan perhimpunan-perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia" di setiap negeri bermula bulan ini untuk memberi pentas kepada semua pihak dan aktivis menggembleng sokongan rakyat menuntut Dato' Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Saudara Mohamad Sabu telah diberi amanah untuk mengetuai jawatankuasa penganjur Perhimpunan Mansuh GST pada 2 April 2016 dan perhimpunan- perhimpunan "Muafakat Selamat Malaysia".

YB DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

Saturday, 5 March 2016

Ucapan Takziah Kembalinya Kerahmatullah Sheikh Dr Hassan Abdullah At Turabi (1932 - 2016)

Pemergian Sheikh Dr Hassan At Turabi Satu Lagi Kehilangan Besar Kepada Dunia Islam.

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA) Keadilan melalui Pengerusinya YB Sen Dr Muhammad Nur Bin Haji Manuty mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Sheikh Dr Hassan Abdullah At Turabi yang telah meninggal dunia pada 5-Mar-2016.

Dunia Islam yang masih bersedih dengan pemergian Almarhum Sheikh Dr Taha Jabir Al Alwani sehari yang lepas dikejutkan pula dengan pemergian tokoh politik Islam dan  pembaharuan Sudan ini.

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada umat dan dunia Islam yang dahaga kan pandangan  dan sentuhan nya dalam gerakan pembaharuan politik dalam negara umat Islam sedunia.

Almarhum yang dilahirkan pada tahun 1932 di Kassala,Sudan merupakan ilmuan keluaran University of London,University of Khartoum,University of Paris dan King's College,London,seorang yang sangat mendalami iimu,fasih berbahasa Peranchis,Inggeris,Jerman,Itali dan Arab.

Almarhum merupakan salah seorang tokoh yang paling berpengaruh dalam politik Sudan moden,beliau mewarnai politik Sudan moden dengan idea idea pembaharuan didalam beragama dan berpolitik.
Almarhum disebut 'tokoh kunci proses Islamisasi Sudan'
Seorang negarawan  Sudan yang berjaya menempatkan Islam di Sudan,
Almarhum juga seorang ilmuan Islam yang rapat dengan Datok Seri Anwar Bin Ibrahim dan pimpinan awal Angkatan Belia Islam ABIM.

Alamarhum banyak meninggalkan karya karya hasil pengamatan beliau terhadap apa yang berlaku di Sudan dan  umat serta dunia Islam.
Antara Qadaya At Tajdid.

Almarhum juga  terlibat di peringkat tertinggi politik Sudan.

Almarhum ialah :
Setiausaha Agung Kongres Parti Popular 1999 - 2016,
Speaker Dewan Negara Sudan 1996 - 1999 dibawah Presiden Omar Al Basyir,
Menteri Luar Sudan pada tahun 1989 dibawah Presiden Omar Al Basyir,
Peguam Negara Sudan 1979 - 1982 dibawah Presiden Ghaffar Nimeiry,
setiuasaha Agung Barisan Islam Kebangsaan 1964 - 1999.

Demi perjuangan dan mempertahan prinsip Almarhum berkali kali juga ditahan dan dipenjarakan.

Kepada ALLAH kita memohon semoga segala amalannya diterima,segala dosanya diampuni dan semoga ALLAH mengurniakan kasihan belas merahmatinya.


"Pembaharuan agama tidak bererti keluar dan melanggari ajaran agama tetapi upaya responsive atas keperluan beragama dalam zaman dan kondisi tertentu"
-Almarhum Sheikh Dr Hassan Abdullah At Turabi.

YB Sen Dr Muhammad Nur Bin Haji Manuty
Pengerusi BiPPA Keadilan.
6-Mar-2016

Sheikh Dr Hassan Abdullah At Turabi Meninggal Dunia (1932 - 2016)

Maklumat Terkini-

Tokoh Ikhwanul Muslimin Sudan,
Sheikh Dr Hassan Abdullah At Turabi telah kembali kerahmatullah pada 5-Mar-2016,pukul 11-00 am EST Khartoum.

Almarhum kelahiran Kassala,Sudan 1932.

Semoga ALLAH menerima segala amalannya,mengampun segala dosanya dan mengurniakan kasihan belas merahmatinya.