Monday 29 February 2016

Kenyataan Media YB Presiden Keadilan

KENYATAAN MEDIA

Konsensus dan Muafakat Untuk Selamatkan Malaysia

Dalam beberapa hari yang lalu, rakyat Malaysia menyaksikan terciptanya sejarah apabila ramai yang dahulu bersama UMNO-Barisan Nasional kini lantang bersuara menyatakan kesediaan mereka untuk bergerak di dalam konsensus atau muafakat politik untuk mereformasikan institusi-institusi di negara ini.

Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, dan memandangkan masalah kepimpinan serta skandal yang terus melanda negara tanpa henti, saya amat mengalu-alukan malah menggesa semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti atau fahaman politik untuk bersama di dalam usaha untuk menyelamatkan Malaysia.

Saudara Anwar sebelum ini ada menyebut bahawa kita bukan sahaja mahu orang yang sekarang memegang jawatan Perdana Menteri ditukar, tetapi sistem yang bobrok dan penuh korupsi perlu direformasi dan diperbetul. Maka semangat inilah yang perlu kita jiwai.

Oleh itu, dalam masa terdekat, saya akan bertemu dengan pimpinan Pakatan Harapan serta parti-parti politik lain, badan-badan bukan kerajaan, dan juga individu-individu untuk membincangkan program asas yang dapat dijadikan panduan bersama di dalam konsensus atau muafakat nasional ini. Semoga kita diberi iltizam, kekuatan dan keberanian untuk menyahut cabaran ini.

Ayuh, kita selamatkan Malaysia!

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

1 Mac 2016

No comments:

Post a Comment