Saturday 30 January 2016

Ucapan YB Senator Dr Muhammad Nur bin Manuty Di Dewan Negara sempena Sidang Khas TPPA : Kesan Buruk TPPA Kepada Rakyat Malaysia


Bismillahirrahmanirrahim
Nahmaduhu wa nusalli 'ala rasulihi al-kari

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua Dewan Negara
Ahli - Ahli Yang Berhormat

1. Saya ingin memulakan perbahasan pada sidang khas di dewan yang mulia ini dengan melafazkan sepotong ayat al-Qur'an (Surah Yusuf : 11) "Laqad kana fi qisasihim 'ibratun li ulil albab" yang bermaksud  "Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka mempunyai pengajaran bagi orang yang berfikir." Ayat ini mengarahkan kita supaya mengambil 'ibrah (pengajaran) segala peristiwa yang telah berlaku di dalam sejarah peradaban manusia dari dahulu hinggalah sekarang.   

2. Pada hakikatnya , TPPA adalah implikasi dari agenda gergasi globalisasi yag telah beroperasi di pentas antarabangsa sejak empat dekad lalu. Pemain utamanya adalah Amerika Syarikat dan lain-lain negara sekutu.  Terlalu banyak persidangan, seminar dan bengkel mengenai kebaikan dan keburukan globalisasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai pihak.  Berkaitan dengan keburukan globalisasi, perjanjian TPPA jelas memberi ruang untuk Amerika Syarikat menguasai sepenuhnya kandungan bahan-bahan hiburan dalam televisyen, filem dan muzik. Produk program terbitan tempatan akan terpinggir.  Pada hari ini, hanya RTM sahaja yang dapat melaksanakan kawalan isi kandungan hiburan. Program-program hiburan swasta jelas menatijahkan kesan-kesan negatif terutama dalam kalangan generasi muda dan kanak-kanak. Persoalannya program-program tersebut tidak menjamin pembinaan sahsiah unggul.  Nyatalah bahawa globalisasi seperti yang telah disebut oleh beberapa ilmuwan, bahawa globalisasi dengan idea terselubungnya  pensegajatan budaya Amerika itu jelas satu ancaman terhadap kelangsungan budaya tempatan.  Dalam bab pelaburan mengikut peruntukan dalam teks TPPA, pengecualian terhadap kandungan tempatan tidak eksplisit. Jadi, dengan menandatangani perjanjian TPPA, rakyat bakal menghadapi rempuhan budaya asing yang lebih meluas dan dilaksanakan atas nama liberalisasi.

3. Selain itu, kesan daripada kemasukan budaya asing adalah institusi keluarga yang semakin rapuh di negara ini akan lebih teruk terjejas dengan pelbagai penyakit sosial yang kronik seperti dadah, perceraian, anak luar nikah, perogolan dan kecenderungan hedonisme.  Justeru, kita bimbang generasi baru di negara ini tidak mempunyai self-resilience atau daya kekuatan ketahanan diri akibat warisan zuriat yang lemah.

4. Kita menentang perjanjian TPPA kerana perjanjian tersebut jelas menggugat kedaulatan Malaysia sebegai sebuah negara merdeka yang punya perlembagaan dan berpaksi kepada Rukun Negara. Persoalan kedaulatan negara adalah persoalan maruah bagi sesuatu bangsa dan negara bukan semata-mata pengumpulan kekayaan serta mencapai negara berpendapatan tinggi.  Justeru, apa pun yang kita laksanakan di dalam negara ini, persoalan maruah (dignity) hendaklah dijadikan pertimbangan utama. Ia juga termasuk dalam kategori indeks syari?ah seperti yang diwarwarkan oleh Perdana Menteri.  Sesungguhnya, persoalan maruah termasuk sebagai salah satu objektif dalam maqasid syari?ah  (objektif terutama Syari'ah) yang mesti dimartabatkan dalam merangka dasar-dasar negara.
Berhubungan dengan hal ini, cita-cita murni Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Mantan Perdana Menteri Malaysia kedua untuk menjadikan negara-negara ASEAN sebagai satu zon damai, bebas dan berkecuali (ZOPFAN) akan terjejas kerana perjanjian TPPA. Manfaatnya diragukan meskipun YB. Menteri Perdagangan Antarabangsa menjamin Malaysia akan mendapat keuntungan besar.  Bagaimana negara boleh menjamin kedaulatan negara dengan termeterainya perjanjian TPPA yang jelas akan menggugat kedaulatan negara dengan memberi ruang kepada US membuat pelbagai peraturan yang tak diduga dari semasa ke semasa Tanpa TPPA, negara masih boleh berdagang bebas tanpa sebarang ikatan. Hingga kini Malaysia telah berjaya melakukan eksport ke pelbagai negara dengan mendapat keuntungan berbilion ringgit.

6. Menteri Perdagangan Antarabangsa kerap menyatakan bahawa Malaysia akan ketinggalan dengan negara Vietnam seandainya kita tidak menandatangani perjanjian TPPA. Kita ingin mengemukakan hujah Profesor Jomo KS, ilmuan ekonomi Malaysia ternama dan mantan Penolong Setiausaha Agung PBB (Bahagian Ekonomi dan Sosial) bahawa one may understand why Vietnam, at war with the US until four decades ago, is keen to join the TPPA, to strengthen its hand vis-a-vis China, but it too, will compel to apply a high economic price for Uncle Sam's protection.  Selanjutnya, Profesor Jomo bertanya kenapa Filipina dan Thailand yang lebih terbuka dasar ekonominya dari Malaysia tidak mahu menyertai perjanjian TPPA Saya mencadangkan kita mengikut jejak langkah Indonesia yang berminat untuk menyertai TPPA tetapi membuat keputusan untuk menunggu dahulu atau wait and see dan melihat kesan jangka pendek dan jangka panjang TPPA kepada negara-negara  yang sudah menyertai TPPA. Dalam hal ini, pedoman dari sepotong Hadis Rasulullah SAW, barangkali ada relevansinya. Baginda bersabda yang bermaksud ?Berhati-hati itu adalah bimbingan dari Allah SWT.

7. Fungsi ISDS yang diberikan oleh perjanjian TPPA adalah besar kerana tujuannya untuk melindungi kepentingan syarikat dengan membolehkan mereka menyaman kerajaan-kerajaan yang berdaulat. Mengapa syarikat tersebut diberi keistimewaan untuk dikecualikan dari pengenaan undang-undang yang diuruskan oleh mahkamah tempatan? Status mahkamah syariah dan sivil juga dalam perundangan negara akan terjejas dengan kehendak syarikat-syarikat korporat yang besar dalam pembuatan sesuatu keputusan yang boleh menjamin keuntungan mereka di dalam aktiviti perdagangan. Sekiranya ISDS diberi kuasa yang lebih, ianya tidak mustahil pada suatu hari nanti ISDS akan membuat keputusan yang bercanggah dengan keluhuran Perlembagaan Negara.

8.  Mengenai hal industri halal pula, saya mengkehendaki satu penjelasan lebih lanjut dari YB Menteri mengenai industri halal dalam konteks perjanjian TPPA. YB Menteri mengatakan bahawa peraturan mengenai logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM tidak terjejas, namun industri halal itu adalah lebih dari sekadar logo. Bagaimana dengan syarikat-syarikat milik orang Islam Apakah mereka mempunyai jaminan dapat beroperasi dengan bebas di bawah perjanjian TPPA? Mampukah mereka bersaing dengan syarikat daripada negara-negara maju seperti US dan Australia yang mempunyai minat menyertai industri halal selepas TPPA ditandatangani Kita berkecenderungan untuk mengatakan di sini bahawa oleh kerana industri halal ini mempunyai keuntungan yang sangat besar, maka ramai kaum kapitalis Barat akan mengerumuninya seperti semut mengerumuni gula.
Semasa perundingan teks TPPA oleh YB Menteri, negeri-negeri langsung tidak dilibatkan dalam perbincangan. Ini sangat mengecewakan kerana negeri-negeri yang bukan diperintah oleh BN seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sangat aktif dalam perdagangan. Ternyata kerajaan sekali lagi melanggar prinsip federalisme. Saya bertanya kepada YB Menteri adakah TPPA akan memberi kesan kepada urusan perdagangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dengan pelabur luar Perdagangan bukan sekadar melibatkan urusan kerajaan persekutuan tetapi juga kerajaan negeri. Malaysia sepatutnya mengikut seperti Kanada yang melibatkan wakil kerajaan negeri mereka dalam perundingan TPPA.

10. Tanpa menafikan ada beberapa kebaikan yang dapat diperolehi daripada perjanjian TPPA, namun kekhawatiran kita bahawa proses globalisasi ini laksana satu tsunami besar yang melanda setiap pelusuk dunia tanpa sebarang pengecualian. Perjanjian Pangkor dan peranan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada abad ke -19 di rantau ini telah meninggalkan kesan-kesan yang buruk ke atas negara yang telah dijajah seperti Malaysia. Justeru, kita melihat faktor mempertahankan kemuliaan ('izzah) warga negara Malaysia supaya tidak terjebak dengan kehinaan (azillah) dapat dihindarkan dengan langkah menolak penglibatan Malaysia dalam perjanjian TPPA. Inilah yang telah digambarkan dalam Al-Quran dalam Firman Allah (Surah An-Naml : 34) "Sesungguhnya para penguasa apabila memasuki sesuatu tempat atau negeri maka kemuliaan warga tempatan tercemar menjadi hina dengan perbuatan pihak penguasa lakukan."

Bagi mengakhiri ucapan ini, dengan ini saya bersama rakan-rakan dari Pakatan Harapan dan PAS menolak usul YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian.
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Majlis Perasmian Retreat

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Datok Hj Mohd Rasyid Bin Hasnon,
Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang.

Retreat BiPPA 29-31 Jan 16 - Pulau Pinang.

AJK BiPPA Pusat berada di Pulau Pinang pada 29,30 dan 31 Jan 2016,
Retreat, membincangkan perkara perkara asas utama berkaitan BiPPA.
InsyaALLAH,segala lapuran berkaitan akan menyusul.

Sunday 17 January 2016

YB Pengerusi BiPPA di Sabah

YB Senator Dr.Muhammad Nur Manuty menyampaikan ceramah tentang konsep Rahmatan Lil Alamin di majlis sambutan Maulidul Rasul peringkat negeri Sabah di cabang Kota Marudu anjuran BiPPA Sabah.
Ceramah YB menarik minat dari kalangan penganut kristian yang hadir.

Friday 15 January 2016

Kenyataan Akhbar YB Pengerusi BiPPA PKR Pusat

Kenyataan Akhbar BiPPA
KEGANASAN DI JAKARTA: PERLUNYA LANGKAH PRAKTIS BENDUNG GERAKAN 'IS'


Siri tragedi pengemboman di beberapa kota dunia – Istambul, Paris dan yang terbaru di Jakarta pada 14hb. Januari 2015,adalah amat mendukacitakan dan dikesali. Ia adalah tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan tata susila semua agama.

Justeru, Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agma (BiPPA) KEADILAn, mendokong sepenuhnya kenyataan rasmi Dato Seri Anwar Ibrahmi (Ketua Umum KEADILAN) dan YAB Dato Sri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden keADILan.

Sesungguhnya, BiPPA ingin mengulangi pandangan majoriti masyarakat antara bangsa, bahawa permasalahan keganansan ini perlu ditangani secara komprehensif, menyeluruh dan bersepadu. Ia tidak mungkin diselesaikan melalui pendekatan jangka pendek, 'adhoc' dan bersifat reaktif semata-mata. Kita wajib mencari prinsip dan kaedah imperatif untuk membenterasnya.

Justeru, kami ingin mengangkat pandangan Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, yang telah mengemukakan langkah-langkah yang praktis (sila lihat al-Qaradawi, "Qira'h fi Waqi' al-Ummah fi al Fatrah al-Akhirah" (Menela'ah Realiti Umat Dalam Waktu Mutakhir), Kaherah: 2009, ms.36). 

Menurut beliau, untuk membanteras ekstremisme, hendaklah bermula dengan kajian mendalam ke atas diri dan peribadi pengganas. Lazimnya mereka ini terlalu taksub dengan sesuatu ideologi yang dianuti. Ia juga berlaku akibat dari kefahaman yang janggal dan tercemar mengenai agama Islam.  Ekstremisme juga berlaku akibat daripada penindasan, ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku di beberapa negara Islam tertentu, terutama di Timur Tengah. Kesemua faktor seperti inilah yang melahirkan kelompok ekstrimis yang sangat tegar berpegang dengan prinsip kekerasan (al-'unuf)..

Maka itu, perang keatas keganasan fikiran dan fizikal ini, tidak memadai dengan menggunakan senjata semata-mata. Ia memerlukan kajian mendalam, perancangan teliti,  hikmah, istiqamah dan kesabaran. Kita juga berkeyakinan bahawa,  seandainya fahaman dan amalan demokrasi - kebebasan, keadilan, ketelusan pemerintahan – dipraktiskan secara berkesan, kelompok masyarakat yang berilmu, matang dan bijaksana akan meluas dan berkembang.  Unsur-unsur yang bersifat tegar dan ganas akan dapat dibanteras dan disekat.

Sesungguhnya, negara kita Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara lain,  memang selama ini dikenali sebagai rantau damai dan aman.  Amalan Islam yang bersifat wasatiyyah dan sederhana telahpun dihayati dan diamalkan sejak dari awal perkembangannya. Justeru, iklim dan budaya seperti ini hendaklah disuburkan dan dikekalkan. 

Sehubungan ini, BiPPA menggesa semua pihak, terutama pihak berkuasa di negara ini supaya merujuk semula pandangan ilmuan-ilmuan Islam dalam menangani gejala keganasan ini.  Umpamanya, karya-karya Shaikh Yusuf al-Qaradawi (Tokoh Ma'l Hijrah negara) seperti Fiqh al-Jihad (2 Jilid) dan al-Wasatiyyah (kesederhanaan), amat relevan dijadikan rujukan utama. 

Sesungguhnya, Islam menolak faham ekstrimisme agama (al-ghuluwwu). Junjungan Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih: : "Binasalah golongan yang bersangatan (al-mutanattiu'un) dalam sesuatu perkara." 

BiPPA berpendirian, gejala keganasan ini adalah amat serius dan ancaman besar kepada negara dan agama.  Justeru, kami menyeru kepada semua pihak - institusi politik, agama, keselamatan, tentera, pendidikan, sosial, NGO dan lain-lain kelompok yang relevan - untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha membenterasnya. 

YB Senator Dr Muhammad Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA)  keADILan
15/1/2015

Saturday 2 January 2016

Peluncuran karya Dr Ghazali Basri

2-Januari-2016,Pengerusi BiPPA PKR Pusat,YB Senator Dr Muhammad Nur Bin Hj Manuty telah diberi penghormatan meluncurkan karya penulisan Dr Ghazali Basri bertajuk "Comparative Religion" di Hotel Putrajaya Bangi,Bandar Baru Bangi.