Monday 18 April 2016

Ucapan Perbahasan Menjunjung Titah SPB Yang Dipertuan Agong YB Senator Dr Muhammad  Nur Manuty semasa Sidang Dewan Negara pada 18 April 2016

Bismillahirrahmanirrahim
Nahmaduhu wa nusalli 'ala rasulihi al-karim

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua Dewan Negara,
Ahli - Ahli Yang Berhormat

1.Saya memulakan ucapan saya dengan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Dipertua atas peluang yang diberikan kepada saya dalam membahas usul menjunjung titah SPB Yang Di-Pertuan Agong. 
Sesungguhnya titah tersebut sepatutnya menjadi panduan dan sempadan kepada ahli-ahli dewan negara dalam sidang parlimen kali ini.

2.Pertama saya ingin menyentuh mengenai titah Baginda mengenai kepentingan menjaga keamanan negara serta mengekang pengaruh militan yang telah menampakkan pengaruhnya di negara ini. Usaha Kementerian Dalam Negeri dan PDRM yang melakukan pelbagai usaha bagi menggagalkan sebarang percubaan untuk membuat keganasan di Malaysia sangat dialu-alukan oleh semua pihak yang prihatin terhadap kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan negara. Mutakhir ini kita mendengar rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki menyertai kumpulan ISIS. Namun statistik penahanan yang tinggi tidak bermakna usaha kita mengekang militan sudah tercapai. Malahan sepatutnya kita berfikir dengan mendalam apakah sebab-sebab mereka yang terdiri dari golongan muda dan berpelajaran mudah terpengaruh dengan agenda ISIS yang terpesong dari ajaran Islam yang suci. Usaha pembanterasan keganasan di negara ini tidak seharusnya dibebankan ke atas PDRM semata-mata namun usaha tersebut perlu mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari semua agensi, institusi pemerintah, NGO-NGO, badan-badan korporat, media dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Selanjutnya, JAKIM, YADIM, IKIM dan jabatan-jabatan agama negeri sewajarnya telahpun siap sedia menawarkan modul-modul yang komprehensif dan efektif tentang kewajipan memahami konsep jihad yang kini telah disalahtafsir oleh kumpulan ISIS. Selain itu, modul-modul tersebut juga hendaklah mengupas salah faham tentang konsep negara Islam yang menjadi ideologi utama ISIS. Dalam hubungan ini karya-karya Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, tokoh ulama' sedunia seperti Fiqh Jihad dan Fiqh Kenegaraan Islam wajar dijadikan rujukan penting. Karya-karya tersebut boleh menyelesaikan banyak kekeliruan dan kekusutan pemikiran dalam masyarakat. Kita juga memerlukan kepakaran personaliti media sosial untuk berhadapan dengan kelicikan ISIS yang berjaya meluaskan pengaruhnya dalam media sosial. Inilah kelompok yang perlu diberikan latihan sosial media secara khusus tentang memahami konsep jihad dan negara Islam.

3.Malaysia perlu meneruskan lagi usaha membasmi sindiket pemerdagangan manusia. Ini dapat dianggap sebagai jenayah perhambaan zaman moden yang telah memberi nama buruk kepada negara. Kebanyakan daripada mangsa pemerdagangan manusia adalah dari kalangan pelarian yang melarikan diri daripada negara asal kerana takut dengan ancaman terhadap keselamatan nyawa diri dan keluarga mereka. Oleh yang demikian, mereka perlu dibezakan dengan imigran yang datang atas dasar pilihan untuk mencari kerja di negara ini. Namun pelarian tidak ada pilihan lain selain mendapat perlindungan sementara di negara ketiga yang lebih aman. Kerajaan perlu juga memastikan pelarian di negara ini mendapat kebajikan yang sewajarnya atas dasar kemanusiaan. Kita wajar mempertimbangkan keperluan mereka mendapat pekerjaan dan peluang pendidikaan kepada anak-anak mereka. Sekiranya mereka tidak bekerja atau bersekolah, saya cukup yakin mereka akan terjebak ke dalam kegiatan jenayah.

4.Malaysia melalui syarikat kebanggaanya Petronas telah sentiasa menjadi salah satu syarikat terbesar di Asia dan sentiasa menjadi "benchmark" dalam industri minyak dan gas asli. Namun beberapa tahun kebelakangan ini harga minyak telah menurun dan simpanan minyak dunia pun sudah semakin berkurang kerana penggunaannya yang semakin meningkat dalam kehidupan seharian manusia. Selain itu, konflik di negara-negara pengeluar seperti di Timur Tengah merumitkan lagi pasaran keluaran minyak sedunia. Kerajaan perlu menambah program pemberdayaan rakyat terutamanya dalam mempromosi aktviti ekonomi yang merakyat. Barangkali sampai masanya untuk kerajaan memberi pelbagai insentif bantuan kewangan dan latihan keusahawanan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang baru bersara. Bagi orang-orang muda pula, pendidikan keusahawan perlu digalakkan sejak dari pendidikan kolej dan pengajian tinggi. Tentulah mereka perlu dibantu dalam memberi bantuan modal awal supaya mereka lebih yakin dalam memulakan perniagaan. Seperti kata pepatah, perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama, dan kerajaan sepatutnya membantu mereka dalam memulakan langkah pertama itu. Saya cukup yakin bahawa untuk menjadi negara maju, rakyat kita perlu menjadi usahawan yang berani dalam mengambil risiko, bukan semata-mata bekerja di pejabat dan menunggu hari persaraan. Orientasi bekerja di dalam sektor swasta wajar dipromosikan dengan lebih meluas. Dengan ini, pasaran pekerjaan akan lebih terjamin pada masa hadapan dan sekaligus penggangguran dapat dikurangkan.

5.Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa bimbang dengan kejatuhan nilai wang ringgit yang terburuk sejak krisis kewangan 1998. Selanjutnya rakyat juga mengalami kesengsaraan akibat dari kejatuhan harga getah, bebanan GST, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang keperluan harian, kesukaran rakyat memilih rumah yang selesa kerana harga rumah yang terlalu mahal, kurangnya khidmat kesihatan yang berkualiti dan lain-lain aspek bebanan hidup. Kesemuanya itu telah menyebabkan kesenjangan pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Junjungan Muhammad SAW bersabda, kefakiran hampir-hampir mencetuskan kekufuran. Justeru, kerajaan seharusnya mengelakkan pembaziran dalam pengurusan wang negara serta melaksanakan projek-projek pembaziran seperti projek 1MDB yang telah menjejaskan teruk imej negara kepada negara-negara luar.

6.Berhubugan dengan saranan Seri Paduka Baginda supaya mutu pendidikan negara dipertingkatkan, saya ingin menyatakan rasa terperanjat kerana pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi untuk menamatkan kontrak profesor-profesor yang berumur lebih 60 tahun di IPTA semata-mata kerana gugatan krisis ekonomi negara yang sedang berlaku saat ini. Rasanya langkah sedemikian merugikan kepada masa hadapan pembangunan negara kerana berbanding dengan negara-negara maju, IPT awam di negara-negara tersebut sentiasa meraikan khidmat ilmu dan kepakaran ilmuwan yang sudah meningkat umur lebih 60 tahun. Semakin umur mereka bertambah, semakin dirasakan keperluan pengalaman keilmuwan mereka untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Malangnya di Malaysia, pengalaman mereka tidak dihargai. Kita hendaklah ingat bahawa  untuk mendapatkan seorang profesor yang terlatih perlu melibatkan perbelanjaan yang besar dan masa yang lama. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pemotongan biasiswa JPA ke luar negara. Pemotongan ini merencatkan pendedahan keilmuan di negara luar  yang selama ini menjadi salah satu nilai tambah kepada kekuatan modal insan di Malaysia.

7.Mutakhir ini, pertembungan antara mahkamah sivil dan syariah semakin rencam. Ini ialah kerana undang-undang syariah bukan sekadar terhad kepada orang-orang Islam sahaja seperti yang kita fahami sebelum ini, namun ianya juga memberi kesan tidak langsung kepada orang bukan Islam seperti kes perceraian, penjagaan anak, pewarisan harta dan lain-lain. Saya fikir sudah tiba masanya kita menggubal undang-undang terutamanya dalam kes kekeluargaan supaya memberi keadilan kepada semua pihak. Ini adalah penting supaya keharmonian beragama yang kukuh terus dipelihara. Oleh kerana ianya melibatkan kuasa agama di negeri-negeri dalam Persekutuan maka jalan terbaik bagi mengelakkan konflik seumpama ini berterusan maka dicadangkan supaya Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan sebuah Surujahanjaya Khas bagi menyelesaikan pertikaian antara mahkamah syariah dan sivil. Ini adalah disebabkan dalam kes-kes yang kontroversi, seringkali keputusan di mahkamah syariah dan sivil berbeza dan ini menyebabkan kegelisahan dan kekeliruan berlaku.

8. Dalam hal ini, saya menyokong saranan Yang Dipertuan Agong jelas menunjukkan bahawa otoriti agama di negara ini hendaklah menguasai dengan mendalam keilmuan Islam supaya tidak dapat dipertikaikan sama sekali oleh pelbagai kelompok di dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Otoriti Islam di negara ini wajar diberi ruang yang seluas-luasnya untuk mendapat pendedahan dari para ilmuwan Muslim semasa di dalam dan di luar negara, bahkan mereka tidak hanya perlu menguasai ilmu-ilmu naqli (revealed knowledge) tetapi juga ilmu-ilmu aqli (rational sciences). Kita yakin dengan penguasaan kedua-dua cabang ilmu tersebut, hujah-hujah yang dikeluarkan oleh otoriti Islam di Malaysia mempunyai kekuatan justifikasi yang dapat diterima kerana kekentalan fakta yang serta mengandungi rasional yang selari dengan realiti semasa. Sebagai permulaan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dr Zulkifli Albakri dan Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menerima kunjungan hormat dari pemimpin-pemimpin Kristian dari negeri masing-masing adalah satu langkah terpuji yang boleh mengurangkan salah faham terhadap agama Islam dan lain-lain agama. Selain itu, bagi memurnikan percanggahan pemikiran Islam seperti yang sedang rancak berlaku saat ini di media sosial dan akhbar bercetak, maka pihak berkuasa Islam di negara ini wajar mengambil pendekatan engagement dengan pelbagai individu dan kelompok-kelompok yang kritikal. Kita kembali kepada pendekatan Al-Quran, firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud"Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan-mu, Dialah Yang Mahatahu tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah Yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."  

9. Akhir sekali, sesungguhnya kita sebagai penggubal undang-undang di dewan yang mulia ini mempunyai pertanggungjawaban yang berat di hadapan Allah SWT dan rakyat untuk menyelamatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendapat limpahan nikmat yang terhitung. Justeru, slogan transfomasi tidak mempunyai apa-apa makna seandainya tidak dilaksanakan dengan adil, telus dan amanah.

No comments:

Post a Comment