Monday 7 March 2016

Catatan Halaqah Ilmu Bukit Segambut.

Catatan Halaqah Ilmu Bukit Segambut
Pengisian Oleh Ustaz Abdul Mutalib Maarof
Yayasan An-Nahdhoh
25 Febuari 2016

Saya bersetuju untuk hadir kerana teringat dengan pesan Nabi Muhammad SAW supaya menjaga perhubungan silaturrahimi sesama Islam. Persaudaraan yang ikhlas hanya boleh dilihat oleh mata hati. Mata hati boleh nampak apa yg mata zahir tidak nampak. Contohnya kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak yang kita tidak nampak secara fizikal tetapi merasakannya dengan hati. Sekiranya hubungan sesama manusia itu ikhlas, tentu kita akan selalu teringatkan dia. Inilah manfaatnya mata hati. Dato' Seri Anwar Ibrahim duduk di hati kaum keluarga dan sahabatnya. Itulah besarnya nikmat mata hati yang Allah jadikan. Saya teringat pilihanraya Permatang Pauh baru-baru ini, ada yang datang dari Kuala Lumpur kerana mahu mendengar nasihat saya sebab Anwar Ibrahim suruh mereka jump saya. Sejak dari itu saya merasakan saya mempunyai hubungan hati dengan Anwar Ibrahim. Walaupun jauh di mata tetapi kita tetap berhubungan dengan mata hati.

Islam mengajar kita berdoa apabila sedanga bermusafir supaya Allah memendekkan perjalanan kita. Contohnya bila hendak ke Mekah, kita minta supaya perjalanan dipendekkan. Mengapa? Ada orang merasakan sesuatu itu perjalanan lama, ada juga yang rasa sekejap sahaja, walaupun jaraknya sama. Saya mengajak tuan-tuan supaya berdoa kepada Allah supaya Anwar Ibrahim merasakan masa beliau dalam penjara pendek. Mudah-mudahan tidak merasakan satu hari macam sebulan. Kita masuk hospital pun satu hari pun dah sama macam sebulan. Saya berdoa supaya biarlah 3 atau 4 tahun yangg terpenjara itu biarlah dijadikan rasanya pendek walaupun hakikatnya lama.

Dalam sirah Nabi, ada seorang sahabat yag apabila dipuji beliau rasa seronok. Beliau memberitahu kepada Nabi SAW tentang pujian tersebut. Kita juga kadang-kadang bermimpi ada yang indah, ada juga yang buruk . Walaupun duduk di istana besar pun, tetapi kalau mimpi buruk pun tetap tidak boleh tidur nyenyak. Allah ciptakan mimpi dengan sebab, bukan tiada kegunaan. Dalam mimpi juga kita dapat berjumpa dengan orang yang sudah lama kita tak jumpa atau sudah pun meninggal dunia. Antara mimpi yang paling indah adalah bermimpi dapat jumpa Nabi SAW. Kita doakan supaya waktu Anwar Ibrahim dalam penjara beliau akan dikurniakan mimpi yang indah.

Saidatina Khadijah suatu hari teringatkan sepupunya, Waraqah bin Naufal, orang pertama yang mengesahkan Nabi SAW sebagai Rasulullah. Waraqah berkata bahawa beliau mahu membantu dalam dakwah Nabi tetapi beliau sudah tua dan selepas itu beliau meninggal dunia. Khadijah bertanya kepada Nabi adakah waraqah ahli syurga atau neraka. Nabi berkata baginda pernah bermimpi berjumpa Waraqah dengan memakai pakaian yang cantik.

Kalau kita baca dalam Hadis Nabi SAW ada disebut tentang mimpi. Orang kalau pergi haji niat tak betul, dah boleh tengok kesannya di Mekah lagi. Balasan Allah kepada orang yang melakukan kezaliman sangat cepat. Sama seperti yang dihadapi oleh Mahathir sekarang. Oleh itu janganlah berbuat zalim kepada orang lain. Kalau kita berdoa beberapa kali tetapi masih tak dapat kita kena sebut Alhamdulillah kerana walau apapun kita tetap bersyukur kepada Allah atas segala nikmat.

Takdir Allah itu pelbagai. Saya teringat 15 tahun dahulu, di Perak ada berita tentang 6 orang anak, anak-anak tidur di tingkat atas, ibu bapa tinggal di tingkat bawah, apabila berlaku kebakaran,, semua anak-anak meninggal. Ini satu ujian dari Allah. Tetapi kita kena baik sangka dengan Allah. Contohnya setiap kali kita berdoa jangan terfikir bahawa adakah Allah akan makbulkan atau tidak. Kalau kita persoalkan itu bermakna kita sudah buruk sangka dengan Allah. Kalau kita tengok situasi dunia sekarang, kita sedar yang kita dapat nikmat yang pelbagai daripada Allah. Saya teringat cerita Al-Maunah di mana ada pengikutnya yang baik tetapi akibat terikut-ikut dengan ustaz yang juga ketua mereka, mereka ditangkap dan dipenjara seumur hidup. Ini salah satu takdir Allah yang datang secara tiba-tiba menyebabkan keluarga berpecah belah. Kita kena ambil iktibar dengan cerita dengan ini dan sentiasa kuatkan semangat.

Takdir kita sendiri bagaimana? Dimana kita akan mati? Kita takkan tahu dan boleh menjangka masa depan kita. Allah akan menguji dengan apa yang kita mampu. Segala ujian yang kita terima sebenarnya kita mampu, sebab itu Allah uji kita. Allah bila kasihkan seseorang Allah akan uji. Kita lihat sekarang kita makin jauh dengan Allah SWT. Ingatlah, di sebalik ujian itu ada nikmat.

Sebelum kita nak ajak orang untuk bersatu kita sendiri mesti saling hormat-menghormati, bukan dengan cara wahdatul fikir iaitu memaksakan fikiran kita kepada orang lain kerana setiap daripada kita ada pemikiran masing-masing. Kalau kita buat kerja kerana Fisabilillah, tentu Allah akan bantu. Yang membuat kerja tanpa berkira, Allah akan kurniakan dia dengan zuriat yang baik-baik.

Mudah-mudahan Allah bagi kesenangan kepada Anwar Ibrahim dan keluarganya. Ingatlah Allah tidak berlaku zalim dan ada nikmat disebalik ujiannya. Minta supaya segala kepayahan dan pengorbanan kita Allah akan balas dan bagi kelapangan serta kesihatan.


Catatan-
Ustaz Mohd Zawawi Mughni,
Setiausaha,
BiPPA Keadilan.

No comments:

Post a Comment